Jun 17, 2010

ahlan ya REJAB !


Bulan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang mencari kebajikan yang banyak. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bulan ini. Barangsiapa memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan mereka dengan seribu kemuliaan. Gandingan 3 bulan (Rejab, Sya'aban dan Ramadhan) merupakan satu tempoh yang amat berkat. Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kemuliaan Rejab kerana Israk Mikrajnya, Sya'aban dengan malam Nisfu Sya'aban dan Ramadhan dimuliakan dengan Lalilatul Qadr. Di antara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan ini. Di antara amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.
Sebagai tanda Allah mengasihi seseorang, diberikan kesusahan atau bala. Bala adalah ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran kita. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan ke atas kita, Allah akan meningkatkan darjat kita. Manusia yang lemah imannya terhadap ujian Allah akan mudah menggelabah dan putus asa. Orang beriman sebenar sama sahaja sama ada diberi nikmat atau tidak. Diberi senang dia bersyukur, ditimpakan susah dia bersabar. Ada wang atau tak ada wang sama saja - kerana kesemuanya berpunca dari Allah.

Dalam konteks kelebihan Rejab ini, puasa adalah satu amalan yang benar-benar menguji kesabaran. Orang berpuasa diuji dengan susah, lapar, dahaga dan letih. Ini merupakan satu bala. Kejayaan mengatasi kesusahan ini demi menyahut seruan Allah merupakan satu peluang yang melayakkan kita menerima ganjaran yang disediakan; bak kata orang tua-tua 'bersusah-susah dulu - bersenang-senang kemudian'. Ini bermakna syarat untuk bersenang-senang di akhirat ialah dengan cara kita menempuh pelbagai kesukaran terlebih dahulu. Syurga adalah satu tempat yang amat istimewa di akhirat yang tidak akan dapat dicapai oleh mereka yang lebih mementingkan kesenangan dan hiburan di dunia ini

Sebagai penutupnya, kita seharusnya memeriksa diri kita terlebih dahulu, sejauh mana kita memberi respons terhadap tawaran ukhrawiah? dan sejauh mana pula kita memberi respons terhadap tawaran keduniaan? Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiur atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuklah dada dan tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan halatuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.


Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha ke arah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketakwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal iibadat dalam bulan Sya'aban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang berada dalam bulan yang paling mulia - Ramadhan dan akhirnya semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. AMIN!